Latar belakang Perang_Kemerdekaan_Itali_Ketiga

Victor Emmanuel II dari Savoy telah ditabalkan sebagai Raja Itali pada 17 Mac 1861, tetapi tidak menguasai Venice, Lazio dan negeri-negeri Paus. Keadaan ini dikenali sebagai Irredente (sebuah istilah Itali yang merujuk wilayah negara yang berada di bawah penguasaan orang asing, literalnya bermakna tidak ditebus) yang menyebabkan ketegangan dalam politik dalam negeri di negara yang baru diasaskan, selain menjadi asas dasar luarnya.

Percubaan pertama untuk menguasai Rome bermula pada tahun 1862 oleh Giuseppe Garibaldi. Yakin dengan sikap tidak berpihak Raja, beliau berlayar daripada Genoa ke Palermo, dan berjaya mengumpulkan 1,200 orang sukarelawan. Beliau berlayar daripada Catania dan mendarat di Melito, Calabria, pada 24 Ogos untuk tiba ke Gunung Aspromonte, dengan niat untuk menjelajah ke arah utara semenanjung ke Rome. Jeneral Enrico Cialdini, bagaimanapun menghantar sebuah divisyen di bawah Kolonel Pallavicino untuk menghentikan tentera sukarelawan. Garibaldi sendiri telah cedera dalam Pertempuran Aspromonte, dan berjaya ditawan bersama-sama dengan pasukan tentera beliau.[1]

Pertikaian yang semakin memuncak di antara Austria dan Prusia berkenaan Persoalan Jerman bertukar kepada perang terbuka pada tahun 1866, memberikan Itali suatu keadaan untuk menawan Venice. Pada 8 April, 1866 kerajaan Itali telah menandatangani sebuah perikatan ketenteraan dengan Prusia,[2] melalui Maharaja Napoleon III dari Perancis. Tentera Itali, diketuai oleh Jeneral Alfonso Ferrero La Marmora, bertempur dengan Austria di perbatasan selatan. Pada masa yang sama, dengan kelebihan kekuatan tentera lautnya, Itali merancang untuk mengancam pantai Dalmatia dan merampas Trieste.[3]